Posted by: ajurina9 on: May 2, 2008
Alhamdulillah, aku telah berjaya melancarkan satu lagi misi dan menanda pangkah pada salah satu wishlist untuk tahun ini. Berkat dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan, juga semangat dari dalam diri untuk belajar semula, maka aku telah memohon untuk menyambung belajar di peringkat master di Universiti Terbuka Malaysia Mei ini.
Setelah menyuarakan hasrat ini kepada keluarga, ayah bersetuju untuk membantu. Kemudian aku melengkapkan borang permohonan sebulan sebelum kemasukan baru. Aku hampir gagal untuk mendapat kemasukan bulan Mei kerana borang tidak lengkap. Rupa-rupanya sijil aku belum disahkan. Dengan bantuan suami Melor, aku dapat melengkapkan borang tersebut dan permohonan aku berjaya. Alhamdulillah. Aku sedikit kecewa pada mulanya, tetapi niat murni aku dapat diteruskan.
Sebenarnya misi ini dirancang untuk tahun 2007. Oleh kerana faktor kewangan dan masa, maka aku hampir melupakan niat tersebut. Pada tahun 2008, oleh kerana aku merasakan bahawa aku perlu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang yang aku ceburi ini, maka aku mengambil langkah pantas sebelum bertukar fikiran lagi.
Secara peribadinya, antara sebab lain adalah kerana aku telah mulai rasa bosan dengan pekerjaan yang aku lakukan sekarang. Aku perlu bekerja untuk hidup. Jadi, alasan tersebut terpaksa di abaikan dulu. Sebab lain juga adalah kerana aku terlalu risau memikirkan soal jodoh. Dengan menyibukkan diri dengan buku, mungkin aku dapat mengalihkan sedikit perhatian ke arah lain. Ini tidak bermaksud aku tidak mengambil tahu langsung mengenai soal jodohku.
Misi ini berjaya aku lakukan tahun ini adalah kerana kesudian ayah untuk menaja pengajianku walaupun pada awalnya aku hanya meminta untuk memberi pinjaman kewangan. Ayahku sudi untuk menaja sepanjang pengajian dengan syarat aku membayar kembali pinjaman PTPTN yang telah aku gunakan untuk mengambil Degree yang lepas.
Mampukah aku memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan pekerja sekaligus? InsyaAllah aku harap aku berjaya membahagikan masa dengan sempurna tanpa mengabaikan kewajipan yang lain.
Persediaan untuk menjadi pelajar semula telah aku senaraikan. Pertama sekali dari segi kewangan. Aku perlu berjimat dengan hebat selain untuk menanggung yuran, juga untuk kos membuat assignment. Masa tidur dan masa berehat perlu dijaga. Pemakanan dan kesihatan sama penting. Juga yang paling utama aku hendakla berfikiran positif dan bertenang.
Aku harap tanggungjawab baru ini dapat aku hadapi dengan tenang dan berjaya. Selamat berjaya untuk diri sendiri.